PRU15: ‘Perang sebenar’ di kawasan tegar Melayu – Pejuang

0
32

GERAKAN Tanah Air (GTA) yang dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad menganggap ‘perang sebenar’ menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah di kawasan majoriti Melayu.

Timbalan Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Rafique Rashid Ali berkata, peperangan tersebut berlaku di kawasan Melayu tegar yang mana parti komponen Pakatan Harapan (PH) sukar menembusinya.

“Pendek cerita di kawasan Melayu tegar. Di kawasan-kawasan yang Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Pakatan Harapan (PH) tidak boleh tembusi. Di kawasan-kawasan PH bergantung pada Tun Dr. Mahathir semasa kempen PRU-14,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pembentukan gabungan berteraskan Melayu mengundang kritikan daripada beberapa pihak, termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengatakan pendekatan berbilang kaum lebih diperlukan bagi menyelesaikan isu membelanggu negara.

Rafique berkata, tidak sampai 24 jam GTA diumumkan, wujud suara ‘sumbang’ menyindir dan merendahkan inisiatif dilakukan.

Beliau turut mempersoalkan mengapa takut dengan gabungan itu walaupun berkongsi sasaran sama.

Katanya, kesanggupan GTA untuk menjadi lawan utama UMNO menunjukkan bahawa tiba masanya rakyat benar-benar menyokong gerakan ini.

GTA katanya, jelas ingin menyatukan kekuatan orang Melayu dalam sosio-ekonomi dan pendidikan, selain kembali menjadi Harimau Asia juga salah satu matlamat penubuhannya.

“Bukankah itu juga harapan parti-parti pembangkang,” soalnya sebagaimana dilaporkan Free Malaysia Today (FMT).

Menurutnya, walaupun gabungan berkenaan berteraskan Melayu, Rafique menegaskan, GTA terbuka kepada semua orang Melayu yang dahagakan perubahan untuk sebuah kerajaan yang bersih, cekap dan amanah.

“Harus ditekankan juga GTA ini adalah satu gerakan rakyat. Ianya tidak rasis,” ujarnya.

Khamis lalu, Mahathir mengumumkan penubuhan GTA merangkumi Pejuang Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Mahathir berkata, gerakan itu turut disertai NGO dan ahli akademik dan profesional meletakkan sasaran menukar kerajaan melawan UMNO pada pilihan raya umum akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here