SELEPAS tiga penggal, Barisan Nasional (BN) kini menyasarkan semula usaha untuk mengambil Selangor daripada Pakatan Harapan (PH).
Keyakinan itu mungkin didasarkan atas keadaan PH yang dilihat lemah sejak akhir-akhir ini, dengan kekalahan teruk berturut-turut di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor dan Sarawak.
Pelantikan Menteri Kewangan Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor menguatkan lagi dakwaan itu.
Pemerhati politik sebelum ini berpendapat bahawa BN Selangor di bawah kendalian Pengerusinya Datuk Seri Noh Omar sukar untuk merampas negeri itu.
Kini gabungan itu menerima wajah baru dengan kahadiran Zafrul. Ahli UMNO Lembah Pantai itu dijangka menjadi calon di kerusi Parlimen Kuala Selangor yang kini disandang oleh Dr Dzulkefly Ahmad daripada Amanah.
Felo Kanan Singapore Institute of International Affairs berkata, Oh Ei Sun, berkata BN dijangka mempolemikkan isu banjir dan bekalan elektrik bagi menambat hati pengundi, selain mengeksploitasi isu kelemahan PKR selepas ketiadaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Katanya, idea membawa Zafrul ke Selangor ialah untuk membawa wajah yang lebih segar dan profesional.
Ini kerana BN menyasarkan pengundi bandar dan terpelajar di negeri tersebut.
“Saya fikir kepimpinan kanan UMNO masih berbelah-bahagi sama ada untuk menamakan beliau calon menteri besar, kerana dia tidak berpihak kepada faksi arus perdana UMNO,” katanya kepada MalaysiaNow merujuk kepada kem Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, Zafrul sebagai menteri kewangan perlu mempertahankan 1MDB atau bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak jika mahu diterima kumpulan kluster mahkamah.
Zafrul sebelum ini pernah menjawab dakwaan Najib mengenai hutang 1MDB.
Pada 2 Ogos lalu beliau memaklumkan kepada Parlimen kerajaan perlu membayar faedah 1MDB sebanyak 1.57 bilion pada 2022.
“Kelihatan Noh Omar agak melawan dengan kepimpinan tertinggi dalam UMNO, namun akhirnya keputusan barisan calon negeri masih perlu diluluskan kepimpinan,” tambahnya.
Penganalisis politik, Dr Ahmad Atory Hussain berkata, meskipun namanya masih baru sebagai ahli politik, Zafrul boleh dianggap sebagai calon “heavyweight” yang boleh dijadikan ayam tambatan, malah menggantikan Noh di Selangor.
“Pertimbangannya ialah kalau Tengku Zafrul mampu menguruskan kewangan negara sebagai menteri kerajaan persekutuan, masakan beliau tidak mampu mengurus sebuah negeri seperti Selangor?”
“Dalam suasana PKR tidak begitu memberangsangkan, ada peluang untuk BN bangkit dan merampas Selangor pada kali ini,” katanya.
Atory merujuk kepada kelemahan pembangkang yang berpecah dan tidak mempunyai arah tuju, walaupun semua parti sudah diletakkan dalam “mood” PRU15.
Namun Atory berkata, kemenangan BN di Selangor ialah dengan syarat bergabung dengan PAS.
“Kalau BN bertanding solo, sukar BN hendak menang apatah lagi menawan Selangor, kecuali jika BN ada keajaiban,” katanya.
Gabungan dengan PAS mungkin sudah terkubur apabila parti Islam itu memilih untuk bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) untuk PRU15.
Tulisan ini pertama kali disiarkan di MalaysiaNow adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita.
Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.