Azeem pilih Amerika Syarikat, destinasi latihan, belajar

0
424

PELARI pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi sudah pun membuat keputusan dengan menjadikan Amerika Syarikat (AS) sebagai destinasi pilihannya bagi melanjutkan pengajian dan meneruskan kerjayanya dalam sukan olahraga.

Jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah ketika berkongsikan perkembangan itu, berkata Azeem yang meraih keputusan 6A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) menerima tiga tawaran bagi menyambung pengajiannya di universiti di AS – di Minnesota, Oregon dan Houston.

“Azeem sudah putuskan untuk melanjutkan pengajiannya di luar negara dan dia mahu ke AS. Cuma, sekarang sedang dalam perbincangan bersama KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menentukan universiti yang terbaik untuk dirinya.

“Namun, besar kemungkinan universiti di Houston akan menjadi pilihan Azeem. Jika semuanya berjalan lancar, Insya-Allah dia akan berangkat pada Januari nanti,” kata Amir, lapor BH Online.

Nama Azeem, 18, ketika ini menjadi sebutan peminat sukan tempatan selepas kejayaannya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat (s) ketika mengungguli saringan lapan pusingan kelayakan di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia, kelmarin.

Catatan itu memperbaharui rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18s ketika menjuarai saingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.

Azeem yang mara sehingga peringkat akhir acara 100m bagaimanapun terpaksa akur menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan catatan 10.14s, awal pagi semalam.

Tangkap layar InstaStory Azeem Fahmi.

Dalam pada itu, menerusi InstaStory di laman Instagram miliknya, Azeem mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberikan sokongan padu kepada dirinya dalam penampilan pertama di pentas dunia.

“Berlari di pentas dunia adalah sesuatu yang berharga dan banyak yang saya belajar. Terima kasih semua yang sentiasa menyokong saya.

“Saya berjanji kepada anda semua, anda akan menyaksikan pelari pertama Malaysia yang berlari dengan catatan di bawah 10s tidak lama lagi,” tulis Azeem.

Bagi acara 200m yang berlangsung awal pagi tadi, langkah pelari berasal dari Perak itu terhenti di peringkat separuh akhir selepas selepas menduduki tempat keempat dalam aksi saringan dua dengan catatan 20.97s.

Sebelum itu, dia berjaya memperbaharui catatan masa peribadi terbaiknya dalam acara berkenaan ketika memenangi perlumbaan saringan tiga pusingan kelayakan dengan catatan 20.83s.

Catatan direkodkan Azeem itu dianggap masa kedua dua terpantas dalam sejarah acara 200m negara selepas rekod kebangsaan 20.77s milik Russel Alexander Nasir Taib yang dicipta pada tahun 2019. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here