Tiga pesilat negara kini bergelar juara dunia

0
269

MISI meletakkan nama sebaris jaguh dunia dalam arena silat menjadi kenyataan buat tiga pesilat negara di Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 di sini.

Biarpun berdepan laluan berbeza dalam meraih sebutir pingat emas di pentas akhir sebagai tanda juara dunia baharu, aksi Muhammad Robial Sobri, Nor Farah Mazlan dan Nor Izzatul Fazlia Mohamad Tahir berada dalam kelas tersendiri sejak pusingan awal yang bermula 26 Julai lepas.

Bertanding dalam Kelas A Putera, Muhammad Robial meraih kemenangan selepas penyertaan lawannya, Muhammad Nurshahfareeq Shahrudin dari Singapura dibatalkan.

Kemenangan itu susulan tindakan Muhammad Nurshahfareeq yang menumbuk di bahagian pipi kanan Muhammad Robial, sekali gus menyebabkan pesilat dari Kedah itu jatuh dan memerlukan bantuan perubatan di dalam gelanggang.

Pemenang Sukan SEA 2017 itu terpaksa diusung keluar ke bilik rawatan manakala Muhammad Nurshahfareeq diberi amaran dan seterusnya dibatalkan penyertaan ketika pesilat Singapura itu sudah mendahului 18-16.

Sementara itu, Nor Farah kini boleh tersenyum lebar apabila menyertai senarai juara dunia selepas meraih kemenangan dalam Kelas F Puteri.

Beraksi dalam saingan penuh sengit menentang Nadhrah Sahrin dari Singapura, pesilat dari Kota Belud, Sabah berusia 24 tahun itu berjaya melakar kemenangan tipis 25-23.

Saingan akhir petang ini juga menyaksikan Nor Izzatul Fazlia tidak ketinggalan melakar nama sebagai juara dunia Kelas Terbuka 2 Puteri.

Pemenang pingat emas Silat Kebangsaan ke-19 Pahang itu melakar kemenangan selepas Lo Thi Tuoi dari Vietnam menarik diri akibat kecederaan ketika mendahului 13-9.

Malaysia menghampiri sasaran tujuh pingat menerusi Kategori Artistik dan Tanding apabila setakat ini mencatat enam pingat emas keseluruhan bagi edisi kejuaraan ke-19 yang disertai lebih 500 peserta dari 40 negara termasuk Malaysia selaku tuan rumah, Indonesia, Thailand, Filipina, Kanada dan Vietnam. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here