[VIDEO] ‘Dalam Islam, bila berjanji mesti tunai,’ – Muhyiddin

0
1305

TAN Sri Muhyiddin Yassin menafikan Perikatan Nasional (PN) mengugut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob susulan kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin baru-baru ini.

Jelasnya, kenyataan itu hanya bertujuan untuk mengingatkan kembali komitmen kedua-dua pihak menunaikan janji yang dipersetujui sebelum ini.

Malah, tambahnya, perkara berkaitan menunaikan janji itu juga selari ajaran Islam.

“Perjanjian… dalam Islam. Bila berjanji mesti tunai. Bukan ugut,” katanya pada sidang media selepas melancarkan buku biografi bertajuk ‘Muhyiddin Yassin: Leading a Nation in Unprecedented Crisis’ di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Buku tulisan bekas Pengerusi Media Prima, Datuk Abdul Mutalib Razak terbitan Yayasan Pendidikan Islam dilancarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Beliau mengulas dakwaan UMNO bahawa PN mengugut Perdana Menteri apabila menyuarakan rasa kecewa kerana banyak “terma-terma penting” perjanjiannya dengan gabungan itu, yang menyokong beliau menjadi perdana menteri tidak dipenuhi.

Muhyiddin berkata, sebelum menjadi Perdana Menteri perjanjian tersebut telah dipersetujui Ismail Sabri dengan PN dan bukan Bersatu.

“Kita bawa dalam agenda tertinggi. Dia dah setuju dengan PN, bukan dengan Bersatu. UMNO nak kata apa boleh kata apa,” katanya.

Beliau menambah, keputusan menghantar delegasi jumpa Perdana Menteri bertujuan mendapatkan penjelasan kenapa setakat ini tiada apa-apa maklum balas daripada apa yang telah pun dipersetujui sebelum ini.

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada tarikh berhubung pertemuan itu.

“Saya serah kepada Setiausaha Agung PN untuk menguruskan pada masa yang sesuai dan kita akan berjumpa dan dapat membincangkan perkara tersebut,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here