Lelaki didakwa tendang muka isteri

0
234

SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini terhadap pertuduhan menendang muka isterinya awal bulan ini.

Tertuduh, Danial Dallas Abdullah, 41, membuat tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya di hadapanMajistret Nabiha Mohd. Noor.

Difahamkan tertuduh bertindak mencederakan isteri selepas mendakwa mangsa yang bekerja di sebuah kedai makan bersikap curang.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada dua cahaya mata itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Norazlinda Ali, 41, dengan cara menendang muka mangsa.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 8 malam di sebuah rumah di Taman Kesidang, pada 4 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhamad Ehsan mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh memohon jaminan rendah kerana hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,200 sebulan selain menyara dua anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 September depan tarikh sebutan semula kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here