TNB mohon maaf, giat pulihkan semula bekalan elektrik

TENAGA Nasional Berhad (TNB) memohon maaf kepada jutaan pelanggannya selepas beberapa kawasan di Lembah Klang mengalami ganguan bekalan elektrik, dengan beberapa kawasan kini dalam keadaan gelap.

TNB menerusi satu kenyataan di Facebook memohon maaf dan memaklumkan pihak TNB sedang mengenal pasti punca kejadian.

“Pasukan teknikal kami sedang mengenalpasti punca kejadian. 

“Usaha sedang giat dijalankan untuk memulihkan bekalan” tulis hantaran tersebut.

Awal hari ini, beberapa kawasan dilaporkan ketiadaan elektrik termasuk Petaling Jaya, Shah Alam, Ampang dan Kuala Lumpur.

Gangguan bekalan elektrik turut dilaporkan di Kuantan, Pahang dan Seremban, Negeri Sembilan.

Kali terakhir Malaysia mengalami gangguan bekalan elektrik besar pada 2005, apabila sebahagian besar kawasan terputus bekalan elektrik sepenuhnya berikutan kerosakan pada kabel elektrik penghantaran utama di Selangor. – SB