‘Tindak balas semulajadi seorang ayah’

0
323

“Itu tindak balas semulajadi seorang ayah yang mahu memberikan sokongan kepada anaknya,” demikian jelas Nik Mohamad Adhar Nik Ismadi, 22, mengulas tindakan ayahnya semalam.

“Sejujurnya, saya tidak menyangka sama sekali ayah sanggup berlari keluar dari khemah tetamu semata-mata mahu memberikan sokongan kepada saya,” ujarnya lagi lapor Harian Metro.

Kisah Nik Mohamad Adhar tular di media sosial selepas dia disambut bapa saudara, Abdul Aziz Ya’acob, 60, ketika rebah pada Majlis Perbarisan dan Kawalan Kehormatan Sempena Sambutan Jubli Emas ke-50 dan Tamat Latihan Kursus Asas Sains KPDNHEP di Maktab Penjara Malaysia, Kajang, Selangor, semalam.

Nik Mohamad Adhar menganggap bapa saudaranya itu dan isteri, Rosmawati Ismail, 53, sebagai ibu bapanya sendiri kerana mereka menjaganya sejak berusia tiga bulan.

Menceritakan semula kejadian itu, Nik Mohamad Adhar berkata, ketika kejadian dia demam sejak 18 Julai lalu, namun bertekad untuk menyertai perbarisan berkenaan dengan rela hati.

Katanya, beliau tetap mahu menyertai perbarisan terbabit kerana ia adalah hari terakhir mereka berkursus selama 14 hari sejak 1 Julai lalu.

“Selepas satu pusingan kawad, kami berjalan dan rehat sebentar sebelum masuk semula (dalam perbarisan). Ketika tetamu kehormat memberikan ucapan, saya tiba-tiba merasa pitam kerana cuaca panas.

“Saya terus tumbang, namun bangkit semula kira-kira dalam 30 saat kemudian selepas mendengar kata-kata semangat daripada rakan-rakan. Namun beberapa minit kemudian, saya tumbang lagi sekali dan tidak larat untuk bangun.

“Secara tiba-tiba, ayah (bapa saudara) berlari dari khemah tetamu dan masuk ke padang kawad untuk memapah saya. Ketika memapah saya, ayah sempat membisikkan kata-kata semangat kepada saya supaya terus kekal berdiri,” katanya.

Beliau yang bertugas di Cawangan KPDNHEP Tawau, Sabah, berkata, dia kemudian meminta ayahnya untuk kembali ke khemah tetamu selepas beberapa minit memapahnya.

“Namun, saya tumbang semula beberapa minit kemudian sebelum dibawa keluar oleh pasukan perubatan.

“Pesanan saya kepada orang ramai di luar sana supaya hargai, sanjungi, santuni dan layan ibu bapa kita dengan baik selagi mereka masih ada kerana kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa,” kata Nik Mohd Adhar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here