Tiket konsert Dewa 19 ‘licin’ dalam tempoh sejam

0
449

LEBIH tiga tahun tidak beraksi, tiket Konsert 30 Years of Dewa 19 sempena ulang tahun ke-30 di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 10 September depan habis dijual dalam tempoh sejam.

Sekian lama tidak menyaksikan Dewa 19, peminat mengeluh sukar mendapatkan tiket sebaik kaunter tiket secara dalam talian menerusi ticket2u.com.my dibuka jam 11 pagi ini.

Menurut laporan BH Online, ada terpaksa menanti selama dua jam untuk mendapatkan tiket, tidak kurang juga kecewa apabila gagal mendapatkan tempat duduk lebih baik, sebaliknya akur biarpun hanya mendapat tempat duduk paling atas.

Rentetan sambutan terhadap Dewa 19, mengikut wakil penganjur, kemungkinan Konsert 30 Years of Dewa 19 bakal ditambah satu malam lagi, namun, belum pasti.

Dewa 19 kali terakhir mengadakan konsert di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, pada 2019, namun, tanpa kehadiran Ahmad Dhani.

Hadir dalam rangka Anniversary Tour, 30 Years of Dewa 19, kumpulan yang sudah memulakan sesi jelajah di beberapa kota di Indonesia itu turut menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi bagi meraikan usia tiga dekad penubuhan.

30 Tahun, 30 Kota, 30 Lagu, itu slogan ringkas, namun, cukup padat disampaikan kepada peminat yang tidak sabar menantikan kemunculan Dewa 19 di Malaysia.

Ahmad Dhani berjanji, terdapat banyak rangkaian lagu yang tidak pernah atau jarang dipersembahkan dalam konsert akan dihidangkan khusus buat Baladewa sekalian.

Jika kehadiran Dhani yang menggerakkan Dewa 19 bersama 30 lagu belum cukup menyemarakkan perayaan 30 tahun kumpulan berasal Surabaya itu, Anniversary Tour, 30 Years of Dewa 19 turut menjanjikan bonus tambahan buat peminat.

Kehadiran Dewa 19 ke Malaysia dibawakan oleh Icon Entertainment juga akan disertai beberapa mantan anggotanya termasuk pemain dram, Tyo Nugros.

Dan, tentunya cukup dinantikan apabila buat kali pertama Dewa 19 akan menghimpunkan empat vokalis handalan atas satu pentas.

Bayangkan, bagaimana Ari Lasso melantunkan lagu dengan gaya ikoniknya sebelum posisi vokalis diambil alih oleh Once Mekel, Virzha dan terkini, Ello.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here