JEMAAH Menteri bersetuju menubuhkan pasukan khas bagi meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya bagi menangani isu tuntutan waris Sultan Sulu terhadap kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata beliau akan mengetuai pasukan khas tersebut, selain dianggotai Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah, Peguam Negara Idrus Harun dan pakar berkaitan timbang tara antarabangsa.
“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersama Jabatan Peguam Negara sedang menentukan terma rujukan (TOR) dan juga keahlian tambahan jika perlu bagi pasukan khas ini,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.
Pada Selasa, waris kesultanan Sulu merampas dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan yang dikatakan menuntut RM62.59 bilion daripada kerajaan Malaysia.
Peguam pihak yang menuntut dilaporkan merampas aset Petronas didaftarkan di Luxembourg, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, menurut Financial Times.
Keesokan hari, Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan kerajaan Malaysia menggantung penguatkuasaan “Final Award” susulan tuntutan pihak mendakwa sebagai waris dan “successors-in-interest” kepada Sultan Jamalul Kiram II.
Perintah penggantungan itu susulan keputusan dibuat Dr Gonzalo Stampa melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol pada 28 Feb lalu.
Wan Junaidi yang dipetik sebagai berkata, asas keputusan Mahkamah Rayuan Paris adalah “Final Award” tersebut akan menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.
Katanya, penggantungan itu adalah hasil daripada pelbagai tindakan perundangan diambil kerajaan Malaysia bermula daripada tuntutan difailkan bagi menamatkan segala tuntutan dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan dipelihara.
Sementara itu, Wan Junaidi mengingatkan bahawa kerajaan memandang serius isu yang mengganggu gugat kepentingan aset negara di luar negara oleh waris Sultan Sulu khususnya aset bawah syarikat berkaitan Kerajaan.
“Kerajaan akan mengambil tindakan proaktif dan agresif dalam menangani isu ini demi mempertahankan aset dan kedaulatan negara,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.