Lakukan siasatan forensik rantaian bekalan kawal inflasi – Pakar ekonomi

0
318

KERAJAAN perlu melakukan siasatan forensik ke atas rantaian bekalan makanan bagi mencari kelompangan yang menyumbang kepada inflasi negara.

Pakar ekonomi, Prof Madya Dr Ahmad Azrin berkata, siasatan tersebut perlu dilakukan secara senyap bagi menghasilkan penemuan berkualiti boleh dipercayai.

“Perlu ada mekanisme baru untuk perhati dari awal proses rantaian bekalan sebelum sampai ke tangan pengguna (rakyat).

“Bagaimana dari RM8.90 (seekor ayam) menjadi RM9.40? Sepatutnya kita perlu lebih awal, tangani bagaimana barang tersebut boleh naik,” katanya ketika dihubungi SatuBerita, baru-baru ini.

Beliau diminta mengulas lanjut saranannya sebelum ini yang mencadangkan kerajaan supaya tidak terlalu bergantung kepada Kadar Dasar Semalaman (OPR) dalam menangani inflasi negara.

Bank Negara Malaysia baru-baru ini mengumumkan kenaikan OPR, iaitu kenaikan kedua tahun ini bagi mengekang inflasi.

Pakar ekonomi menjangkakan OPR akan dinaikkan lagi akhir tahun ini berdasarkan situasi semasa ekonomi negara dan dunia.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, mekanisma baharu perlu diperkenalkan secara terperinci dan semua kementerian perlu bekerjasama dalam satu pasukan, bukan sahaja bergantung kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Perkara sebegini tidak boleh harap satu pihak (KPDNHEP), semua kementerian perlu datang serentak sebagai satu pasukan dan perkara ini kalau buat tidak susah, cari yang betul-betul syarikat besar.

“Buat forensik rantaian bekalan secara ‘bawah tanah’, dari situ akan nampak di mana sebenarnya lubuk yang kita tak pernah jangkakan,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan akan mengetahui punca terhadap lonjakan harga barang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita akan bertemu perkara luar jangkaan seperti caj tangkap ayam dilakukan pihak tertentu” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here