Ikmal Hisham nafi 30,000 hadirin Majlis Pelancaran PN Kelantan terima jam G-Shock

0
67

AHLI Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menafikan orang ramai yang hadir pada Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Peringkat Negeri Kelantan pada 2 Julai lalu diberi jam tangan G-Shock dan payung.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan hari ini:

Saya ingin menjelaskan laporan sebuah portal berita yang membangkitkan persoalan sama ada orang ramai yang menghadiri Majlis Pelancaran PN Peringkat Negeri Kelantan pada Sabtu lalu (2 Julai 2002) disebabkan pemberian jam tangan G-Shock dan payung atau penyokong tulen PN.

Saya menafikan sekeras-kerasnya pemberian jam tangan atau payung tersebut seperti mana didakwa.

Untuk makluman, seminggu sebelum acara tersebut, saya sudah menguar-uarkan secara meluas kepada orang ramai khususnya di Tanah Merah bahawa bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan hadir bagi melancarkan PN Peringkat Negeri Kelantan.

Dan pada hari berkenaan juga, saya mengumumkan sekali lagi akan berlangsung majlis pelancaran tersebut, terserah kepada orang ramai yang hadir di mesyuarat berkelompok Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah di lokasi yang sama untuk menghadiri pelancaran berkenaan atau pulang.

Bagaimanapun orang ramai tidak berganjak, malah lebih ramai yang datang. Kehadiran mereka adalah secara sukarela dan bukannya terdapat pemberian jam tangan G-Shock atau payung seperti mana didakwa.

Saya percaya kehadiran mereka adalah bagi menghargai Tan Sri Muhyiddin Yassin yang banyak jasanya kepada rakyat ketika menguruskan pandemik Covid-19 semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Berhubung hadiah cabutan bertuah, dalam banyak program melibatkan rakyat kebiasaannya ada acara seumpama itu bagi memeriahkan majlis namun perlu difahami jika program atau penganjurnya tidak disukai oleh rakyat, betapa besarpun hadiah yang disediakan orang ramai tetap tidak akan hadir.

Sehubungan itu saya mempelawa mana-mana pihak menganjurkan apa-apa majlis di Tanah Merah dengan menawarkan hadiah cabutan bertuah lebih hebat bagi membuktikan sama ada mereka mampu atau tidak menarik kehadiran lebih 30,000 orang.

Saya turut kesal dengan tohmahan mengatakan orang ramai diberi jam tangan G-Shock yang saya fikir tidak munasabah kerana ia pastinya melibatkan kos cukup besar mencecah berbelas-belas juta ringgit jika mahu diberikan sebagai cenderahati kepada lebih 30,000 pengunjung di Pelancaran Perikatan Nasional Negeri Kelantan tersebut.

Saya mencabar mereka yang membuat tuduhan mengemukakan bukti mana-mana individu yang menerima pemberian jam tangan atau payung itu ketika hadir di majlis berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here