Operator mengaku tidak bersalah hantar gambar berbaur lucah

0
339

SEORANG wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa atas pertuduhan membuat penghantaran yang memuat naik gambar lucah di akaun Twitter, tahun lepas.

Amira Nur Afiqah Agus Salim, 25, yang merupakan seorang operator di sebuah syarikat perhotelan, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norhasniah Abdul Razak.

Ibu kepada seorang anak itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu gambar lucah

Perkara itu dilaporkan dibuat dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui akaun Twitter ‘@amiranafqh’ pada 7.27 malam, 19 Sept 2021, lapor Bernama.

Hantaran itu kemudian dilihat di sebuah premis di Sri Tioman 2, Jalan Melati di sini, pada 7.58 malam, pada tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.

Kesalahan itu boleh membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Nur Nazhzilah Mohamad Hashim mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin

Manakala, peguam Adly Zulfadhly Zulkefly yang mewakili OKS memohon jaminan RM2,000 berikutan anak guamnya perlu menanggung seorang anak dan ibu bapanya.

“Suami kepada anak guam saya merupakan penyunting video bebas dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Jaminan RM5,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan tidak munasabah kerana anak guam saya tidak mampu untuk
membayarnya atas faktor ekonomi,” kata peguam itu dan menambah pihaknya akan mengemukakan representasi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali pada setiap bulan sehingga kes selesai dan menetapkan 9 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here