Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin menolak permohonan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menangguhkan pihak pendakwaan daripada melakukan pemeriksaan balas lanjut ke atasnya sementara menunggu keputusan rayuan.
Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata, Zahid tidak akan diprejudis, sekiranya pemeriksaan balas diteruskan.
“Tiada keadaan khas untuk menangguhkan prosiding kerana pemohon (Zahid) belum memenuhi ambang. Beliau tidak dinafikan perbicaraan adil,” katanya lapor FMT.
Sequerah berkata, beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang enggan memberikan penangguhan.
Katanya, peguam Zahid boleh menemu bual saksi, termasuk ahli keluarga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan.
“Pihak pendakwaan juga akan membantu mereka (pembelaan) dalam mendapatkan saksi,” katanya.
Presiden UMNO itu memfailkan permohonan penangguhan itu pada 23 Jun lalu, sementara menunggu keputusan rayuannya untuk mendapatkan keterangan saksi yang direkodkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.