Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Jurutera ditahan lakukan kekerasan jenayah terhadap polis -

Jurutera ditahan lakukan kekerasan jenayah terhadap polis

POLIS menahan seorang jurutera bagi membantu siasatan mengasari dan melakukan kekerasan jenayah ke atas seorang anggota polis trafik di Jalan Tun Dr Awang, Bayan Lepas dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata kejadian pada 6.30 petang berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (PICC) itu berlaku apabila anggota polis trafik itu menahan kereta dipandu lelaki berusia 51 tahun tersebut.

“Anggota polis trafik menahan kereta tersebut kerana lelaki itu didapati melakukan kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu namun lelaki berkenaan yang tidak puas hati dikenakan saman, bertindak merakam kejadian menggunakan telefon bimbitnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata anggota polis trafik itu menasihatkan lelaki tersebut supaya tidak meneruskan perbuatannya namun lelaki berkenaan mengingkari arahan hingga menggusarkan anggota polis trafik yang sedang menjalankan tugas.

Kamarul Rizal berkata anggota trafik berkenaan kemudian cuba menahan lelaki tersebut kerana menghalang polis menjalankan tugas dan merampas telefon bimbit untuk siasatan namun lelaki itu bertindak menggunakan kekerasan jenayah terhadap polis hingga berlaku pergelutan.

Menurutnya lelaki itu kini direman hingga Khamis ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 353, Seksyen 186 dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan.

Terdahulu tular menerusi media sosial dan aplikasi WhatsApp satu video berdurasi dua minit 55 saat memaparkan seorang lelaki mengasari anggota polis trafik yang sedang mengeluarkan saman terhadapnya di tepi jalan dan merampas telefon bimbit lelaki itu untuk siasatan. – BERNAMA