[VIDEO] PN, PH boleh menang PRU15, hanya perlu formula kerjasama

0
356

GABUNGAN parti-parti Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) memerlukan formula yang betul jika ingin memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana terbukti mereka belum kalah secara total walaupun mengalami kekalahan teruk di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata, walaupun Barisan Nasional (BN) memenangi 40 daripada 56 kerusi pada PRN Johor, ia hanya memenangi 43% undi popular dan 36% undi Melayu.

Katanya, PH kalah kerusi campuran mereka kepada BN kerana kehilangan undi Melayu, namun undi ini bagaimanapun pergi kepada  PN.

“Ini bermakna BN belum pulih sepenuhnya dan masih ada ruang untuk PH dan pembangkang mencari formula yang betul,”

Hisomuddin bagaimanapun memberi amaran kepada PH ia perlu memperkukuh jenteranya dan tidak kelihatan berpecah-belah jika mahu memberi sebarang impak pada PRU15.

“Walaupun PN sebuah gabungan baharu, ia berjaya tampil sebagai satu parti. Oleh itu, pengundi mengundi PN dan bukannya Bersatu atau PAS. Tetapi dalam PH, ia masih kelihatan seperti tiga parti berasingan – PKR, DAP dan Amanah,” kata penganalisis politik itu, lapor MalaysianInsight.

Dalam pada itu, Pemimpin Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, PH mesti memperkukuhkan jentera dan menyusun semula pembangkang jika mahu mengulangi kejayaan PRU14.

“Kita mesti menganalisis secara mikro semua 222 kerusi untuk mencari jalan mengelak pertandingan pelbagai penjuru.

“Walaupun tidak semua kerusi harus menjadi pertandingan satu lawan satu, kerana beberapa kerusi hanya boleh dimenangi jika ia ditandingi lebih banyak parti, Pakatan mesti menyusun semula pembangkang jika mahu menang semula,” katanya pada forum dalam talian yang dikendalikan oleh Pengarah Pilihan Raya Pemuda Amanah, Asmaaliff Abdul Adam, malam tadi.

Bekas menteri kesihatan itu mengulas strategi PH pada PRU15 selepas kalah teruk dalam tiga pilihan raya negeri di Melaka, Sarawak dan Johor.

Salah satu punca kekalahan itu adalah kerana pertembungan berbilang penjuru antara BN, PH dan PN.

Walaupun penggal Parlimen sekarang hanya tamat pada 16 Julai 2023, parti politik dan pemerhati menjangkakan PRU15 akan diadakan tahun ini. 

“Kita tidak sepatutnya bercakap mengenai mana-mana khemah sekarang. Apa yang penting kita menyusun semula pembangkang untuk mengelak tewas mudah kepada Barisan Nasional,” kata ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, PKR mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan pada pilihan raya akan datang selepas Langkah Sheraton.

“Keutamaan kami adalah mempertahankan apa yang kami ada dan kemudian mencari jalan untuk memenangi kembali kerusi yang berpaling tadah,” kata Fahmi.

Beliau berkata, walaupun semua parti terjejas susulan Langkah Sheraton pada 2020, PKR paling menderita kerana kehilangan lebih 10 ahli Parlimen.

“Oleh itu, kita perlu mencari jalan untuk mengekalkan apa yang kita ada dan kemudian keluar dan melihat bagaimana untuk memenangi semula Gombak, Ampang, Batu Pahat, Tebrau dan lain-lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here