Seludup PATI Rohingya:Tiga anggota IPK Kedah dituduh

0
1166

TIGA anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah antara lapan warga tempatan yang didakwa di mahkamah hari ini, terhadap tuduhan menyeludup 119 pendatang tanpa izin (PATI) etnik Rohingya pada 24 Mei lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, semua suspek berusia antara 28 hingga 51 tahun ditahan secara berasingan dalam dua siri tangkapan.

“Dalam kejadian bulan lalu itu sebuah bot nelayan ditahan di perairan Kuala Kedah bersama empat warga tempatan disyaki tekong bersama sembilan warga Myanmar oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Susulan kejadian berkenaan, empat lagi warga tempatan dikesan dan ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan migran.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan adalah seramai lapan orang iaitu tiga daripadanya anggota polis yang bertugas di IPK Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Katanya, mereka disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 (Pin. 2002).

Wan Hassan berkata, kes itu dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah dan seterusnya ke Pejabat Peguam Negara Putrajaya dan kebenaran pertuduhan sudah diperolehi terhadap kedua-dua penjawat awam itu mengikut Seksyen 26B (d) ATIPSOM 2007 (Akta 670) dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.

“Tiga warga tempatan dituduh mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007 (Akta 670) dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan pula boleh dihukum dengan penjara selama 20 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

“Dua lagi suspek diletakkan mengikut bon Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here