Menara azan masjid 169 tahun musnah dipanah petir

0
665

BEBERAPA jemaah di Masjid Jamek Datuk Andak Kampung Serkam Pantai terselamat daripada terkena serpihan batu konkrit puncak menara, yang terjatuh di ruang solat utama masjid berusia 169 tahun itu akibat dipanah petir awal pagi ini.

Timbalan pengerusi masjid berkenaan, Zakaria Abu Bakar berkata kejadian pada kira-kira pukul 6.45 pagi itu berlaku semasa beliau bersama imam dan beberapa jemaah sedang meneruskan aktiviti mengaji dan berwirid selepas lebih 30 jemaah lain beredar dari ruangan berkenaan sesudah menunaikan solat Subuh.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini beliau berkata pada mulanya mereka terdengar dentuman guruh kuat serta sedikit gegaran yang disusuli dengan bekalan elektrik terputus, dan kemudian barulah tempias air hujan mulai terasa selepas puncak menara itu disambar petir.  

Bahagian atas menara azan Masjid Jamek Datuk Andak Kampung Serkam Pantai musnah disambar petir pagi tadi. (Gambar: Facebook Zakaria Abu Bakar)

Bagaimanapun katanya beliau amat bersyukur kerana tiada kecederaan yang menimpa mana-mana jemaah dalam kejadian itu.

Sementara itu salah seorang penduduk, Mohd Sufian Hashim, 43, berkata selepas solat Subuh beliau berada di rumahnya dan secara kebetulan menyaksikan kejadian itu menerusi tingkap rumahnya yang berhampiran dengan masjid.

“Saya terdengar dentuman yang sangat kuat dan kali kedua saya dari jauh ternampak petir memanah puncak menara masjid menyebabkan percikan api dan mengeluarkan kepulan asap,” katanya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here