Kes pukul jiran: Pelakon dibebas dengan jaminan polis

0
375

PELAKON yang ditahan dan direman tiga hari kerana disyaki memukul seorang penduduk di sebuah kondominium di Sentul, Kuala Lumpur pada Khamis, dibebaskan dengan jaminan polis pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata suspek dibebaskan pada tengah hari selepas pihaknya selesai menjalankan siasatan terhadap suspek.

“Suspek dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira jam 12 tengah hari tadi selepas siasatan dan proses merekodkan keterangan daripadanya selesai, hari ini.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut,” katanya, lapor BH Online.

Tambahnya, siasatan kes dilanjutkan mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan iaitu ugutan dan mendatangkan kecederaan.

Kelmarin, pelakon lelaki berusia pertengahan 30-an itu direman tiga hari selepas disyaki menumbuk dan menendang seorang penghuni kondominium di Segambut, malam Khamis lalu.

Pelakon yang mendiami kondominium sama dilaporkan menumbuk dan menendang mangsa selepas rakan mangsa yang hendak menghantar minyak masak dilarang memasuki kawasan kondominium berkenaan oleh pengawal keselamatan di situ.

Kejadian dipercayai berlaku selepas berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan pengawal keselamatan sebelum pelakon terbabit datang secara tiba-tiba dan memukul mangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here