PERKHIDMATAN yang tidak efektif dan waktu menunggu lebih panjang terutama Transit Aliran Ringan (LRT) menyebabkan ramai pekerja lewat untuk tiba ke destinasi masing-masing.
Kekecewaan dan keluhan itu dikongsikan menerusi laman media sosial yang mendesak agar pihak pengurusan supaya lebih cakna dalam mengendalikan perkhidmatan pengangkutan awam.
Chu Chin Huei, menerusi akaun Facebook (FB) memberitahu kesesakan yang berlaku akibat pengguna yang terlalu ramai tetapi tiada usaha daripada pihak pengurusan untuk memulihkan keadaan.
Perkongsian yang turut disertakan video berdurasi lapan saat itu menunjukkan bagaimana pengguna bersesak sehingga terpaksa berdiri di atas eskalator.
“Perkara ini kerap kali berlaku di stesen LRT Pasar Seni. Tindakan yang diambil mereka untuk mengawal orang ramai hanyalah dengan menahan mereka ketika menukar stesen sahaja.
“Mereka yang beratur terlalu ramai sehingga ada yang berdiri di atas escalator. Takkan nak tunggu sampai ada orang jatuh?” katanya.

Perkara ini juga diperakui Noor Aina Yusoff yang berkongsi kekecewaannya terhadap sistem dan pengendalian pihak pengurusan pengangkutan awam.
“Pukul 6.30 dah beratur panjang di stesen MRT Kajang. Saya nak tambah nilai pun pukul 6.30 kaunter baru buka.
“Orang ramai dah usaha datang sebelum jam 6.30 bagi mengelak kesesakan tetapi sistem cukup menyusahkan,” ujarnya.
Vishal Gopinathan berkata kebanyakan tren di laluan LRT Kelana Jaya menghadapi kelewatan dan kesesakan akibat pengurusan yang tidak cekap.
“Tren yang disediakan terlalu padat semasa waktu puncak sehingga ramai yang tidak dapat menaiki kereta api tersebut.
“Walaupun ada pengumuman awal mengenai kelewatan empat minit, tempoh ini sudah cukup membebankan pengguna yang semakin bertambah di stesen.
“Adakah pihak pengurusan mempunyai jadual yang berfungsi, atau hanya hendak membiarkan perkara ini berlanjutan?” katanya.
Selain itu, perkara sama disuarakan menerusi laman sosial Twitter apabila pengguna
meluahkan kekecewaan akibat sistem pengangkutan awam yang tidak efektif.
Pengguna @bukhrin berkongsi bahawa tiada petugas di ruang legar stesen Pasar Seni sehingga menyebabkan kesesakan di kawasan transit.
“Di aras bawah sekitar ruang legar, tiada petugas yang memberitahu bahawa ada kesesakan sebelum memasuki pintu transit.
“Apabila orang ramai menggunkan eskalator, ini menyebabkan mereka terpaksa berhimpit kerana tiada ruang untuk bergerak,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.