3,866 kotak rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai dirampas

0
716

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

POLIS Pulau Pinang merampas sebanyak 3,866 kotak rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai bernilai RM58,000 dalam satu serbuan di sebuah kedai di Jalan Burma, Georgetown semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komissioner Soffian Santong berkata, serbuan kira-kira pukul 4 petang itu dilakukan di sebuah premis yang dijadikan stor penyimpanan pelbagai jenis rokok tidak bercukai tersebut.

Ujarnya, dalam serbuan itu seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun yang merupakan pemilik premis dan seorang lelaki warga asing berumur 26 tahun yang merupakan penjaga premis turut ditangkap.

“Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan hasil saringan awal mendapati suspek negatif sebarang jenis dadah.

“Siasatan awal mendapati pemilik premis itu mendapatkan bekalan rokok daripada rangkaian sindiket dan menyimpan di stor tersebut sebelum menjual kepada pembeli,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua lelaki itu direman bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 135(1 )(d) Akta Kastam 1967. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here