Misi Harimau Malaya kutip tiga mata – Kim Pan-gon

0
399

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon optimis anak buahnya mampu me­lakar kemenangan menjelang aksi terakhir Kumpulan E saingan kela­yakan Piala Asia 2023 menentang Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Sebagai rekod, skuad negara ‘wajib’ mengutip tiga mata untuk mencerahkan peluang mara ke pentas Piala Asia buat kali pertama sejak 2007 berbekal status juara kumpulan atau menjadi lima naib juara terbaik peringkat kelayakan.

Pengendali import dari Korea Selatan berkata, barisan pemainnya sudah pulih daripada keputusan mengecewakan ketika tewas 1-2 kepada Bahrain dan kini tumpuan diberikan dalam usaha mencipta keputusan positif pada aksi terakhir nanti.

“Sebagai pemain profesional, mereka sudah harungi banyak perlawanan dan ada ketika keputusan menang atau tewas. Apa yang pasti, saya lihat mereka sudah boleh mengawal emosi dan tekanan, sekali gus melupakan kekecewaan yang lepas.

“Fokus utama pasukan ketika ini adalah untuk meraih kemenangan ke atas Bangladesh. Secara jujur, kami tetap menghormati pasukan lawan kerana mereka telah melakukan persiapan rapi dan menunjukkan corak permainan baik sebelum ini.

“Namun, sasaran yang diletakkan adalah untuk mengutip tiga mata berharga dan saya harap pemain dapat elak daripada melakukan kesilapan, seterusnya membuktikan keinginan layak ke pentas Piala Asia nanti,” katanya pada sidang media di Subang Jaya, semalam, lapor Kosmo.

Sementara itu, Pan-gon mengakui tidak menghiraukan rekod lampau apabila tidak pernah menang menentang Bangladesh pada dua aksi persahabatan akhir terakhir, sebaliknya lebih berminat untuk terus pandang ke depan.

“Saya tidak kisah dengan rekod pertemuan menentang Bangladesh sebelum ini, tetapi apa saya lihat apa yang kita pamerkan pada dua perlawanan lepas sebagai penanda aras buat pasukan,” katanya.

Skuad negara ketika ini ter­desak untuk memburu kemenangan dalam usaha melayakkan diri ke pentas Piala Asia 2023 secara merit buat kali pertama sejak edisi 1980.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here