PERKHIDMATAN kemudahan awam, terutama Transit Aliran RIngan (LRT) mulai sesak dipercayai sejak awal pagi tadi mengundang kemarahan penumpang yang rata-rata ingin menuju ke tempat kerja.
Perkara ini dikongsikan menerusi laman media sosial yang menyatakan perkhidmatan pengangkutan awam ini sebagai tidak efisien serta mengganggu jadual harian mereka.
Memetik laporan Sinar Harian, seorang pengguna Twitter, @nrjwznl berkongsi pengalamannya pagi Selasa apabila pengguna itu terlepas dua LRT berikutan penumpang yang terlalu ramai.
“Tidak ada guna kalau bangun awal nak naik kereta api untuk tiba di pejabat tepat pada masanya, tapi terlepas dua tren kerana penuh dengan penumpang dan (tren) datang selepas setiap lima minit,” katanya.
Perkongsian itu juga disertakan gambar yang menunjukkan suasana dan situasi sesak yang berlaku di sebuah stesen kereta api.
Masalah ini juga dihadapi pengguna perkhidmatan pengangkutan awam lain yang menghadapi isu sama pagi ini.
Alvin Tee, yang menggunakan perkhidmatan MRT melaporkan bahawa terdapat ‘lautan’ pengguna di stesen Pasar Seni kerana kegagalan petugas dalam mengawal keadaan.
“Pengurusan penumpang hancur ketika ini sehingga berlaku kesesakan pengguna. Ini pun, masih tiada tindakan yang diambil petugas di stesen ini,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Marsh Micky Yoochun turut berkongsi masalah kesukaran dalam menggunakan pengangkutan awam apabila kekerapan tren tidak ditambah baik.
“Kenapa sebelum ini kekerapan tren berada dalam tiga minit ketika waktu puncak, tetapi sekarang sudah berubah menjadi lima minit?
“Sekarang , ramai pekerja sudah mula masuk ke pejabat. Jadi, pihak pengurusan perlu melihat untuk menukar semula waktu perkhidmatan ini,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.