Tukang cat dihukum gantung sampai mati

0
616

SEORANG tukang cat rumah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini, terhadap pertuduhan mengedar 186.43 gram methamphetamine, Januari 2018.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Sabri Hamzah, 49, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan sekali gus tertuduh disabitkan bersalah.

Wan Ahmad Farid dalam alasan penghakiman berkata, tertuduh mempunyai pengetahuan bahawa dadah berkenaan adalah berbahaya dan dia sengaja ke lorong di belakang rumahnya.

Katanya, tertuduh juga cemas ketika diserbu polis dan cuba melarikan diri. Alasan tertuduh untuk mengambil sarang burung di belakang rumah adalah tidak munasabah.

“Di atas sabitan itu, tertuduh dihukum mati iaitu gantung hingga mati dan barang kes dilupuskan. Mahkamah terikat dengan undang-undang yang ada selagi hukuman tidak dipinda di Parlimen,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 186.43 gram methamphetamine di kawasan semak belakang rumah tidak bernombor di Kampung Tasik Hulu, Gual Sitok, Rantau Panjang, jam 7 petang, pada 31 Januari 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hasif Hassan.

Terdahulu, Muhammad Hasif berkata, kesalahan itu adalah yang pertama dilakukan tertuduh, lapor BH Online.

Katanya, tertuduh mempunyai empat anak berusia antara tujuh hingga 17 tahun itu kesal dengan kesilapan yang dilakukan dan tidak akan melakukan perbuatan itu pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here