Guna penyodok: Netizen sangkal alasan CEO Stadium Bukit Jalil

0
611

SEGELINTIR pengguna laman media sosial menyangkal kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Faidz Sanusi berkaitan kerja-kerja pembuangan air secara manual tidak sepatutnya dijalankan kerana sistem perparitan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berfungsi dengan baik.

Jack Andak, menerusi laman sosial Facebook (FB), mempersoalkan kejadian air bertakung yang berlaku di SNBJ meskipun jutaan ringgit telah dilaburkan bagi menambah baik kualiti padang itu.

“Kalau sistem perparitan berfungsi dengan baik, kenapa air masih bertakung? Duit berjuta habis untuk pembaikan, tetapi hasilnya macam tu ke?” katanya.

Seorang lagi netizen, Fizah Hassan juga mempersoalkan kesiap siagaan pihak pengurusan stadium dalam menghadapi situasi sebegitu.

“Memang tak arah, tapi apa pilihan yang petugas tu ada? Bila jadi situasi macam ni, petugas akan sedaya upaya untuk melakukan apa yang termampu untuk selesaikan.

“Ini respons spontan, mereka menggunakan apa yang ada dan ini menunjukkan kita tidak ada kelengkapan yang sesuai,” katanya.

Bagi Azman Man Jo, pihak pengurusan seharusnya memiliki peralatan yang sesuai dan cekap dalam menyelesaikan isu takungan air.

“Isunya bukanlah jika masalah perparitan berfungsi dengan baik mahupun keperluan untuk pekerja mengalirkan air secara manual.

“Tetapi, peralatan (menolak air secara manual) perlu disediakan. Janganlah sampai terpaksa menggunakan penyodok sampah, jangan buat kerja acuh tak acuh,” katanya.

Mohd Azlan Ahmad juga berkongsi pandangannya yang melihat usaha daripada pekerja tidak perlu dipersoalkan kerana itu merupakan tugasan dan tanggungjawab mereka.

“Jangan kambing hitamkan pekerja bawahan. Jika pengurusan yang baik, hujan lebat macam mana sekali pun, air akan keluar mengikut saluran dengan baik.

“(Ini mungkin disebabkan) tiada penyelenggaraan berkala oleh pihak stadium. Ini cukup memalukan kepada negara luar,” ujarnya.

Bagi Zulkarnain Kasmuri, pihak pengurusan seharusnya fokus untuk memikirkan penyelesaian wajar dan tidak perlu menunding jari kepada mana-mana pihak atas perkara berkenaan.

“Itulah keputusan pihak atasan, mereka tidak akan mengaku kesilapan yang telah dilakukan.

Antara respons netizen mengenai masalah takungan air di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu

“Yang jadi mangsa, orang bawahan yang bertungkus lumus menjalankan kerja yang diamanahkan. Sepatutnya pihak pengurusan sudah siap siaga akan pekara-perkara yang tidak dijangka,” katanya.

Perkara ini turut dipersetujui Izahar AZ yang melihat pihak atasan perlu mengambil langkah proaktif bagi mengelak perkara seperti itu tidak berulang.

“Mereka buat bagi keadaan lebih elok. Untuk jangka masa panjang, pihak atasan perlu memikirkan jalan penyelesaian.

“Apa yang mereka (pekerja) lakukan (buang air menggunakan penyodok) sebagai tindakan segera akibat pengurusan stadium sebelum ini yang sambil lewa,” ujarnya.

Seorang netizen, Dora Yakey juga meminta agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengkaji semula tahap pengurusan bola sepak negara.

“Sekiranya sebegini standard pengurusan PSM dan FAM, tidak usahlah bercita-cita untuk layak ke Piala Dunia jika pengurusan di tahap Asia masih berada di tahap sebegini.

“Pihak pengurusan atasan perlu merasa malu akan hal ini. Janganlah sampai rakyat dan orang bawahan juga dipersalahkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here