PN lantik dua Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Pulau Pinang, Johor

0
492

MAJLIS Tertinggi Parti Perikatan Nasional (PN) bersetuju melantik Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Pulau Pinang.

Manakala, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal pula dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Johor.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi satu kenyataan pada Ahad berkata, pelantikan yang diumumkan itu berkuat kuasa serta merta.

Beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada malam tadi yang turut dihadiri oleh semua Presiden parti anggota PN iaitu Presiden PAS; Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden STARSABAH; Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, Presiden SAPP; Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Gerakan; Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, serta wakil-wakil dari semua parti komponen.

Muhyiddin berkata, mesyuarat juga membuat ketetapan dan memperkukuhkan gerak kerja dalam persiapan hadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) serta mendepani isu semasa yang dihadapi rakyat.

“Mesyuarat Majlis Tertinggi mengambil maklum tentang perbincangan tidak rasmi saya dengan pimpinan parti-parti politik yang lain. 

“Mesyuarat juga membuat ketetapan untuk terus memperkasakan PN dan memperkukuhkan gerak kerja parti komponen PN dalam persiapan menghadapi PRU-15 dan mendepani isu-isu semasa yang dihadapi rakyat amnya,” katanya.

Semalam, Sahruddin Jamal yang juga merupakan bekas menteri besar Johor dilantik sebagai ketua Bersatu Johor yang baharu.

Pelantikan ADUN Bukit Kepong itu adalah bagi menggantikan Muhyiddin yang memegang jawatan tersebut sejak 9 Sept 2020.

Muhyiddin berkata, pelantikan itu juga sekali gus membuktikan pimpinan mengiktiraf proses peremajaan parti. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here