Jururawat mangsa penipuan dalam talian rugi RM20,000

0
368

SEORANG jururawat dari Temerloh, Pahang, kerugian lebih RM20,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan saham berasaskan petroleum, emas dan gas dalam talian yang tidak wujud.

Wanita berusia 44 tahun itu melihat tawaran pelaburan melalui aplikasi TikTok Mei lalu yang kononnya menjanjikan keuntungan tinggi dalam masa yang singkat.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Deputi Superintenden Yap Huat Tian berkata, supek menawarkan pakej pelaburan sebaik sahaja mangsa menghubungi nombor telefon yang diberik dalam iklan itu.

“Mangsa berminat lalu memilih pakej emas, iaitu bayaran pelaburan sebanyak RM250 lalu suspek memberi jaminan dalam tempoh lapan hingga 12 jam bahawa pulangan lumayan sehingga RM7,800 akan dipulangkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, mangsa turut memberikan maklumat peribadi setelah diminta suspek sebelum memulakan pelaburan itu.

Selain itu, mangsa juga telah melakukan enam transaksi berbeza bernilai RM20,130 ke dalam akaun bank suspek yang menggunakan nama berbeza bermula 28 Mei hingga Khamis lalu.

Kata Huat Tian, semua pemindahan wang yang dilakukan itu adalah untuk tujuan pelaburan dan suspek kemudian meminta mangsa membuat bayaran sebanyak RM5,620 sebagai komisyen staf pelaburan.

Menurutnya, sejurus melihat perkara itu, mangsa enggan meneruskan pembayaran apabila merasakan dirinya ditipu sebelum bertindak melaporkan hal itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh pada Jumaat.

“Siasatan sedang dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara di antara setahun hingga 10 tahun.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai tawaran pelaburan yang didakwa mampu memberi keuntungan berlipat-ganda dalam masa singkat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here