[VIDEO] Harga barang sekolah naik, ibu bapa pening

0
509

TIDAK cukup tekanan harga barangan harian naik mendadak, ibu bapa kini mula ‘pening’ apabila harga peralatan sekolah pula naik.

Tinjauan SatuBerita di sekitar Petaling Jaya mendapati rata-rata ibu bapa yang ditemui tersepit antara perlu berjimat atau memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak.

Bagi Raptas Othman, 52, yang mempunyai tiga orang anak berkata, kenaikan harga yang dikenakan ke atas barangan keperluan persekolahan tidak wajar.

“Kos sara hidup sekarang sangat tinggi. Kita yang menjual secara kecil-kecilan ini, keuntungan banyak mana sangat. Kalau harga barang sekolah semua naik, terpaksa beli walaupun mahal,” katanya.

Seorang bapa kepada dua orang anak, Ramesh Gunasegaran, 34 tahun berkata, ibu bapa juga perlu menanggung kos makanan harian anak-anak di sekolah yang juga dikatakan turut mengalami kenaikan harga selain membeli barang keperluan sekolah.

“Gaji minimum sekarang sudah naik, saya gembira dengan perkara itu. Tetapi harga barangan juga sama, tetap naik. Ini ditambah pula peralatan sekolah. Sebatang pensil dulu baru seringgit lebih, sekarang saya tengok mencecah RM2. Ibarat tiada perubahan, gaji naik, harga barang naik.

“Malah, harga makanan di kantin sekolah juga sudah naik,dahulu RM1.50 boleh dapat nasi ayam, sekarang RM3 baru dapat. Kita bila fikirkan tanggungjawab sebagai ibu bapa, perlu bayar juga takkan anak kita tak makan,” katanya.

Bagi Muhammmad Jamil, 47, dia terpaksa bekerja lebih masa bagi menampung perbelanjaan isteri dan lima anaknya.

“Memang sangat-sangat terbeban. Tapi, tiada pilihan. Bila cikgu suruh anak-anak beli buku, kita perlu beli. Macamana sekalipun, perlu cari duit untuk keperluan pendidikan mereka,” katanya yang menjalankan perniagaan goreng pisang.

Foong Yin, 54, yang mempunyai dua cahaya mata berkata, tekanan terhadap ibu bapa semakin bertambah apabila keperluan persekolahan anak-anak naik tetapi gaji yang diperoleh sekadar cukup untuk menampung mereka sekeluarga.

“Situasi kita sekarang, gaji kurang. Banyak keperluan lain perlu ditampung semuanya naik harga. Sebagai ibu bapa perlu akur kerana pendidikan adalah yang terbaik untuk anak-anak.

“Mereka yang di kampung mungkin tidak begitu terkesan kerana ada sumber makanan sendiri. Tapi bagi kami di bandar dengan kos hidup yang tinggi sangat menyiksakan,” katanya.

Sementara itu, bagi Zuraidah Abd Rashid, 59,dia mengakui sudah tidak mampu menanggung beban apabila harga barangan keperluan sekolah lapan orang anaknya juga mengalami kenaikan.

“Rasa terbeban kerana saya seorang sahaja bekerja. Saya berharap, kerajaan lakukan sesuatu terhadap isu yang semakin
Kritikal ini,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here