Jangan hina perjuangan martabatkan bahasa Melayu – Rais Yatim

0
345

YANG Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim menyeru agar mana-mana pihak tidak memandang rendah dan menghina perjuangan dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa diplomatik, bahasa ilmu mahupun bahasa komersial.

Menurut Sinar Harian, seruan itu dibuat menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook peribadinya kepada semua pemimpin baharu, lama dan bekas menteri di negara ini.

“Bahasa Inggeris boleh jalan macam biasa cuma bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita. Demi Perkara 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan wajib diberi ruang dan telapaknya sebagai bahasa ilmu, bahasa diplomatik, bahasa komersial dan bahasa sains teknologi. Ini Malaysia bukan Great Britain.

“Barang siapa yang tak senang dengan apa yang hakiki bagi bahasa Melayu boleh berhujah tetapi jangan menakut-nakutkan rakyat bahawa negara ini akan jatuh ranap di mata dunia semata-mata kerana memartabatkan bahasa Melayu,” katanya.

Tegasnya, perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan tidak akan menjatuhkan mana-mana negara.

“Tapi memang boleh jatuh kalau kleptokrat terus berkuasa. Dalam vokasi hidup, kalau hendak ilmu apapun boleh dicapai dengan bahasa sendiri. Cuma mahu tak mahu sahaja. Kuatkanlah azam politik.

“Bahasa Inggeris ada macam-macam nilai utiliti padanya. Komersial, undang-undang, diplomatik, perubatan, sains dan teknologi. Apa salahnya jika bahasa Melayu turut mempunyai nilai-nilai ini?” soalnya.

Pada masa yang sama, beliau turut menyeru Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin untuk memastikan guru-guru yang mengajar bahasa Melayu membuktikan kebolehan dan keupayaan bahasa kebangsaan untuk bersaing dengan bahasa-bahasa lain.

“Didik betul-betul. Bahasa Inggeris, bahasa Mandarin, bahasa Tamil semua boleh diajar dan dipelajari. Tapi bahasa Melayu wajib di bahasa ilmukan. Jika tidak, ia akan hilang nilai ekonominya dari segi kepenggunaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here