[VIDEO] Harga barang naik: Peniaga tersepit, terpaksa naikkan harga

KENAIKAN harga borong dan kekurangan bekalan menyebabkan harga bahan mentah seperti ayam, ikan dan sayur meningkat, sekali gus menghimpit rakyat.

Tinjauan Buletin Utama di dua pasar tani di Selangor dan Kuala Lumpur, mendapati harga sayur-sayuran naik sehingga 50%, manakala bekalan ayam segar masih tidak mencukupi.

Di pasar tani Bukit Damansara, Kuala Lumpur, peniaga sayur, Zakaria Che Musa mendakwa, harga sayur ketika ini merupakan yang tertinggi sejak 30 tahun lalu, jika sebelum ini harga bahan makanan itu ditentukan mengikut musim, namun peningkatan ketara berlaku sejak 1 April lalu, rentetan bekalan yang tidak menentu.

“Dia kadang-kadang naik, dia turun balik tak macam barang lain, ikut musim. Tetapi sekarang, sayur-sayur ini di peringkat yang tertinggi daripada yang biasa, minta-minta turun balik,” luahnya.

Manakala peniaga ikan, Norhafizi Nordin, berkata bekalan ikan setakat ini masih stabil, namun terdapat kenaikan harga yang berlaku kepada beberapa jenis ikan yang mendapat permintaan tinggi.

“Ikan sekarang ini harga turun naik, ikut pasaran semasa, kalau hari ini mahal, esok murah. Ada jenis ikan yang naik (harga), seperti selar, kembung,” katanya.

Ikan kembung dijual pada harga RM23.50 sekilogram, tokol putih RM17.50 sekilogram, dan ikan pelaling serta selar kuning masing-masing dijual pada harga RM16.50 sekilogram.

Sementara itu, di pasar tani Kelana Jaya, Selangor, mendapati ayam mentah habis dijual seawal 8.30 pagi.

Ujar peniaga ayam, Zulkifli Hamdan, keadaan itu berlaku apabila bekalan yang diterimanya tidak mencukupi.

“6.20 pagi kami mula meniaga, 8.20 pagi ayam dah habis. Sini biasanya kita jual 600 ke 700 ekor, tetapi hari ini kita dapat bekalan hanya 300 ekor. Perkara ini sudah berlaku selama tiga ke empat minggu, bekalan kurang,” tegasnya.

Selain terpaksa menutup gerainya di pasar malam, dia terpaksa menaikkan harga kepada RM11.20 sekilogram,  berbanding harga siling yang ditetapkan kerajaan RM8.90.

Tegasnya, kenaikan harga itu tidak dapat dielakkan ekoran ia berlaku dari pihak pemborong lagi dan peniaga terlibat berharap agar pihak bertanggungjawab dapat mengesan punca seterusnya menyelesaikan isu berkenaan dengan segera. – SB