TIGA pengawal keselamatan diugur dan disamun dalam dua siri kejadian di sebuah kilang mesin bitcoin di Meru, Klang pada 27 April dan 20 Mei lalu yang berlaku antara pukul 2 hingga 3 pagi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, siasatan yang dijalankan kemudian berjaya menangkap 12 individu di sekitar Klang termasuk seorang lelaki warga Indonesia dipercayai terlibat dalam kejadian.
“Penangkapan kesemua suspek berumur antara 20 hingga 40-an ini sekali gus berjaya menyelesaikan beberapa siri jenayah samun di sekitar kawasan Klang
“Laporan berkaitan kejadian dibuat oleh pengarah syarikat kilang tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di Klang, hari ini, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, laporan berkaitan kejadian dibuat oleh pengarah syarikat kilang tersebut.
“Siasatan mendapati kejadian melibatkan 180 mesin bitcoin dianggarkan bernilai lebih RM180,000.
“Tiga pengawal keselamatan yang telah diugut dan diikat ketika kejadian pada 27 April serta 20 Mei itu merupakan warga tempatan berumur lingkungan 30-an. Kesemua mereka bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurutnya, susulan tangkapan yang dijalankan, polis berjaya menemukan pelbagai barangan termasuk mesin bitcoin yang telah disamun.
“Selain itu, polis turut merampas dua buah kenderaan jenis Proton Wira dan Nissan Sentra, telefon bimbit serta pelbagai barangan lain.
“Semakan rekod mendapati 11 daripada 12 suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah serta dadah,” katanya.
Pihaknya turut mengesan empat lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.
“Keempat suspek ini mempunyai hubung kait dengan kejadian dan dipercayai berumur sekitar 30-an.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.