“KALAU ada kata ini propa untuk filem saya, tak! Orang dah tahu cerita saya sakit sejak berpuluh tahun dulu,”
Demikian kata-kata pendakwah popular, Datuk Ustaz Kazim Elias ketika mengulas mengenai keadaan kesihatannya dalam rancangan bual bicara MeleTOP, Selasa lalu.
Tambah Ustaz Kazim, beliau tidak perlu sebarang gimik atau penipuan untuk melariskan produk yang berkaitan sebaliknya apa yang dikongsikan selama ini adalah kebenaran.
“Saya baru habis penggambaran sebuah filem dan ia mengambil aspirasi daripada kisah hidup saya yang mana saya dilanda pelbagai penyakit sejak tahun 1997.
“Salah satunya adalah masalah berkaitan kulit saya yang selama ini saya rahsiakan kepada orang ramai,” kata beliau.
Tambahnya, ketika sebuah babak dalam filem itu, pihak produksi telah memberi solekan di kawasan tangan untuk menjadi contoh penyakit yang dihadapi.
Namun, perkara itu telah menarik orang ramai yang mempersoalkan ketiadaan penyakit itu apabila ditemui di luar tempoh pengambaran.
“Tangan saya okey. Masalah ni berlaku kat tempat lain (sambil pegang peha). Takkan saya nak tunjukkan tempat tu. Ia aib saya.”
Ustaz Kazim turut menambah bahawa beliau turut memilih untuk tidak menunjukkan masalah yang dihadapinya itu bagi mengelakkan dirinya dianggap meraih simpati.
Hal ini kerana beliau tidak mahu meletakkan penyakit ini sebagai penghalang untuknya menjalankan kerja-kerja mendakwah.
“Kadang-kadang bila saya sakit, saya bangun buat kerja orang tanya balik ‘kata sakit?’. Takkan kalau sakit saya perlu baring duduk? Macam mana saya nak jaga sekolah saya, warga emas kalau saya terlantar?
“Jadi saya kena bangun, buat kerja. Bila saya sibuk, sekurang-kurangnya saya lupa sakit saya,” kata beliau.
Dalam wawancara bersama Nabil Ahmad dan Elly Mazlein itu, Ustaz Kazim juga terpaksa memakai solekan tebal menggunakan ‘foundation’ untuk menutup masalah kulit di bahagian muka yang menunjukkan kesan lebam.
Malah, secara eksklusif, Ustaz Kazim juga memadamkan solekan itu untuk menunjukkan penyakit yang dihadapinya kepada penonton.
Ustaz Kazim juga berkongsi bahawa beliau turut menghadapi kesukaran untuk tidur dan berehat disebabkan perkara ini.
“Saya hanya boleh tidur dalam kereta. Tapi, ketika PKP, mana saya nak tidur?” keluh beliau.
Selain itu, perkongsian oleh Ustaz Kazim juga mendedahkan bahawa beliau pernah menghadapi masalah tidak boleh membuang air kecil selama sebulan.
“Bila saya tak boleh kencing, saya menggelupur sakit. Doktor tebuk pinggang saya untuk keluarkan air kencing.
“Doktor kata mereka dapati ada satu benda putih sangkut di saluran air kencing saya. Namun, masa nak tarik benda tu, makin lari benda tu ke atas dan hilang, allahualam,” ujar beliau.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.