Hanya 12 peratus atau 136,000 anggota PKR keluar mengundi dalam Pemilihan PKR 2022 yang selesai Ahad lalu.
Berita Harian melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa berkata, peratusan keluar mengundi itu agak rendah berbanding dengan pemilihan yang diadakan sebelum ini.
“Secara keseluruhan, proses pengundian secara fizikal di seluruh negara berjalan dengan baik dan lancar, kecuali di beberapa tempat di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Selangor.
“Malah di negeri Selangor dan Sabah yang banyak cabang dikategorikan sebagai ‘kawasan panas’, juga secara keseluruhannya selesai menjalani pengundian tanpa ada perkara yang tidak diingini kecuali sedikit masalah teknikal di Sabah iaitu di awal pagi pemilihan dimulakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai pengundian atas talian, Zaliha berkata seramai 76,932 anggota mendaftar sebagai Pengundi Atas Talian (PAT) melalui aplikasi ADIL.
“Ini bermakna kira-kira 90.84 peratus anggota yang memilih sebagai Pengundi Atas Talian sudah membuat pilihan kepimpinan mereka secara atas talian.
“Ianya adalah satu pencapaian peratusan yang agak membanggakan memandangkan kaedah pengundian secara atas talian ini adalah julung kali diperkenalkan untuk Pemilihan Keadilan 2022,” katanya.
Dalam pada itu, berkaitan dengan proses Pengundian Semula di beberapa cabang, Zaliha berkata JPP 2022 akan segera mengadakan mesyuarat serta mengumumkan tarikh baharu pengundian semula untuk cabang berkenaan dalam tempoh yang terdekat.
“Keputusan penuh pengundian untuk Pemilihan Keadilan 2022 untuk peringkat pimpinan di cabang dan untuk jawatan utama di peringkat pusat, seperti jawatan Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden akan diumumkan selepas semua proses pengundian selesai, iaitu selepas habis proses pengundian semula di cabang yang ditangguhkan pengundiannya.
“JPP kini bersedia memasuki fasa seterusnya dalam Pemilihan Keadilan 2022, iaitu proses pencalonan bagi calon yang berminat untuk menawarkan diri untuk calon bagi jawatan-jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP).
“Tarikh Pencalonan untuk jawatan berkenaan kini ditetapkan pada 29 Mei ini,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.