Hantar gambar, video lucah, penghantar makanan mengaku bersalah

Seorang penghantar makanan e-hailing mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru atas dua pertuduhan membuat dan menghantar gambar serta video lucah menerusi aplikasi Instagram, dua tahun lepas.

Bernama melaporkan, Muhammad Khairi Ma’ani, 25, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mahkamah juga menetapkan 19 Jun depan sebagai tarikh untuk mendengar fakta kes sebelum hukuman dijatuhkan.

Lelaki itu didakwa menggunakan aplikasi Instagram dengan nama mkdaniel_ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk video dan gambar dengan unsur lucah.

Kelakuannya itu dilakukan dengan niat menyakiti hati orang lain di Blok C, Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru, kira-kira 8.50 pagi, 25 Januari 2020.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588} dan boleh dihukum di bawah Seksten 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,

Pihak pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Nur Nazhzilah Mohammad Hashim sementara tertuduh tidak diwakili peguam.