Dua beradik lemas dalam parit ketika keluar bermain

0
439

DUA beradik lelaki berusia empat dan enam tahun ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam parit di Batu 12, Jalan Segari dekat Pantai Remis, semalam. 

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu daripada orang awam pada 7 malam.

“Setibanya pihak polis di lokasi tersebut, didapati dua mayat kanak-kanak lelaki telah diletakkan di atas lantai di hadapan rumah mereka.

“Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Pantai Remis telah mengesahkan kematian kedua-dua mangsa tersebut pada pukul 7.15 malam,” katanya dalam satu kenyataan.

Nor Omar berkata hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa telah keluar bermain di luar kawasan rumah pada 5 petang dan ketika itu ibunya yang berusia 36 tahun memasak di dapur.

“Kira-kira setengah jam kemudian, ibunya telah memanggil anak lelaki sulungnya berusia 10 tahun untuk mencari kedua-dua adiknya supaya pulang ke rumah.

“Abang mereka kemudiannya menemukan kedua-dua mangsa berada di dalam parit berhampiran dan terus memaklumkan kepada ibunya seterusnya meminta bantuan orang ramai untuk mengeluarkan mangsa dari parit berkenaan,” katanya.

Nor Omar berkata mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian berkenaan.–Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here