5 ditahan bakar mercun rai ulang tahun kawan

0
374

PADAH meraikan hari jadi rakan dengan membakar mercun di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Setia Alam, Selangor, lima lelaki ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lima suspek berusia lingkungan 30 hingga 42 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

“Suspek ditangkap setelah pihak polis menjalankan soal siasat dan pengecaman video yang tular itu dan soal siasat masih berjalan.

“Kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi permohonan reman,” katanya menurut laporan BH Online.

Mohd Iqbal berkata, terdahulu Ketua Polis Balai Setia Alam mengesan rakaman video bertajuk ‘Big Brother Birthday Celebration’ di Tik Tok yang dimuat naik kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

“Hasil siasatan awal mendapati video berkenaan menunjukkan sekumpulan lelaki bermain mercun di tepi jalan berhampiran Plaza tol Setia Alam.

“Siasatan mendapati, kejadian berlaku kira-kira 8 malam, 14 Mei lalu bagi meraikan hari lahir salah seorang rakan dikenali ‘Mustafa’.

“Mereka juga berhenti di tepi tol berkenaan untuk berjumpa rakan lain,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Letupan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here