Atlet baling tukul besi negara rampas kembali emas

0
30

ATLET baling tukul besi lelaki dan wanita negara menyumbang emas ke-12 dan 13 negara menerusi sukan itu pada temasya Sukan SEA ke-31 hari ini.

Jackie Wong Siew Cheer dan Grace Wong Xiu Mei merampas kembali kejuaraan mereka dalam sukan itu daripada pesaing tradisi dari Thailand, di Stadium Kebangsaan My Dinh di sini.

Grace mengungguli kategori wanita dengan balingan sejauh 57.13 meter (m) menerusi cubaan keempatnya.

Walaupun catatan tersebut jauh ketinggalan daripada rekod kebangsaan miliknya 62.46m yang dilakukan pada Grand Prix Malaysia April lepas, ia masih mengatasi Mingkamon Koomphon yang mencatatkan 50.28m bagi meraih perak, manakala seorang lagi wakil Thailand Panwat Gimsrang (49.64m) membawa pulang gangsa.

“Saya tidak puas hati dengan keputusan (jarak) ini kerana saya sasarkan dalam 60-61m. Ada masalah teknikal, wayar tukul besi terlalu pendek, jadi saya cuba yang terbaik.

“Selepas terlepas emas di Filipina, saya sangat sedih, tetapi saya dapatkan ia kembali dan semuanya ok. Saya juga berterima kasih kepada semua pihak yang menghantar kami berlatih di Korea Selatan selama 42 hari, ia sangat membantu,” katanya kepada pemberita.

Grace memenangi emas Sukan SEA pertamanya dengan mencipta rekod kejohanan 59.24m pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, sekali gus mengetepikan pencabar terkuatnya Mingkamon yang membawa pulang perak.

Namun, atlet Thailand itu merangkul semula emas pada edisi terakhir temasya itu Filipina 2019.

Sementara itu, dalam kategori lelaki, Jackie turut mendapatkan kembali kejuaraan dengan menewaskan pesaingnya dari Thailand, Kittipong Boonmawan, dengan balingan sejauh 66.49m pada cubaan terakhir. 

Juara 2015 dan 2019 Kittipong merekodkan balingan terbaik pada jarak 64.54m, manakala seorang lagi atlet Malaysia Sadat Marzuki Ajisan memperoleh perak (58.86m). 

Jackie merangkul emas pada Sukan SEA 2017 dengan mencatatkan 65.90m namun terpaksa berpuas hati dengan perak semasa di Filipina di belakang Kittipong yang memenangi emas serta mencipta rekod baharu kejohanan 67.56m.–Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here