Beban hutang punca suami isteri cuba bunuh diri

0
27

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

BEBANAN hutang mendorong sepasang suami isteri yang menjalankan perniagaan produk kecantikan cuba membunuh diri di rumah mereka di Taman Desa Botani, Batu Pahat, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superitendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 12.30 tengah hari sebelum pihaknya bergegas ke tempat kejadian.

“Pihak polis mendapati mangsa lelaki berusia 36 tahun sudah meninggal dunia dengan menggantung diri pada besi galang ‘stainless steel’ yang ada dalam tandas di bilik tidur rumah mereka.

“Sementara isterinya yang berusia 50 tahun ditemui dalam bilik tidur yang sama dalam keadaan lemah dan terdapat kesan kelar pada kedua-dua belah tangan menggunakan pisau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasangan tersebut menjalankan perniagaan produk kecantikan dan punca kejadian dipercayai akibat bebanan tanggungan hutang yang tidak dapat dijelaskan.

Katanya, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat untuk pemeriksaan dan bedah siasat manakala isterinya dalam keadaan stabil dan masih ditahan di wad untuk rawatan lanjut di hospital yang sama.

Tambahnya, siasatan dilakukan mengikut laporan mati mengejut dan Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cuba melakukan kesalahan membunuh diri dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara setahun, denda atau kedua-duanya sekali. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here