Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Jho Low mengatur, urus mesyuarat TIASCC - Saksi -

Jho Low mengatur, urus mesyuarat TIASCC – Saksi

MAHKAMAH Tinggi hari ini diberitahu ahli perniagaan yang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low mengatur dan menguruskan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Penyelarasan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIASCC).

Bekas Setiausaha Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Lim Poh Seng dalam keterangannya, berkata beliau menghadiri beberapa mesyuarat TIASCC sebagai perakam minit di atas permintaan Jho Low.

Saksi ke-18 pendakwaan itu yang membacakan pernyataan saksinya berkata, TIASCC ditubuhkan pada akhir 2008 dengan objektif untuk membincangkan semua isu berkaitan dan sebelum penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIAB).

Memetik laporan BH Online, ketika disoal balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Datuk Seri Najib Razak, Poh Seng menafikan cadangan peguam itu bahawa beliau dilantik dalam 1MDB selepas ditawarkan oleh Jho Low.

Wan Aizuddin mencadangkan bahawa pelantikan Poh Seng ditawarkan oleh Jho Low selepas TIASCC ditubuhkan.

Poh Seng sebaliknya berkata pelantikannya dibuat atas tawaran Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB.

Apabila ditanya oleh Wan Aizuddin siapakah dalam BOD yang menawarkan pelantikan itu kepadanya, Poh Seng menjawab, “bukan oleh seseorang individu tetapi BOD secara kolektif.”

Saksi itu berkata, perkenalannya dengan Jho Low bermula apabila ahli perniagaan itu menawarkan kepadanya untuk memberikan perkhidmatan kepada beberapa syarikat yang dia cadangkan, bagaimanapun tidak mengingati tahun.

Poh Seng berkata, hubungannya dengan Jho Low adalah sebelum penubuhan TIAB.

Media sebelum ini melaporkan, bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner dalam keterangannya di Mahkamah Persekutuan, Brooklyn, New York, berkata Jho Low memainkan peranan penting dalam TIAB sebelum syarikat pelaburan ditukar nama kepada 1MDB.

Leissner berkata, Jho Low yang menjadi penasihat Sultan Terengganu pada 2009, adalah dalang utama skandal 1MDB dan terbabit membuat keputusan penting dalam TIAB.

Poh Seng memberikan keterangan terhadap Najib yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Selasa depan.