ANTIVIRAL Paxlovid yang digunakan dalam usaha merawat penghidap Covid-19 ternyata memberi kesan positif tanpa memberi kesan sampingan.
Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, rawatan menggunakan Paxlovid kini diberikan keutamaan kepada kumpulan pesakit Covid-19 berisiko tinggi dengan gejala ringan hingga sederhana, mengikut laporan dikeluarkan Berita Harian.
Setakat 9 Mei lalu, seramai 173 pesakit Covid-19 yang diberikan rawatan antiviral ini telah sembuh sepenuhnya dan tiada kesan sampingan dilaporkan.
Paxlovid dibekalkan sebagai rawatan pesakit di 512 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Klinik Kesihatan serta 78 hospital kerjaan sejak 15 April lalu.
Walau bagaimanapun, Khairy berkata, disebabkan berlaku penurunan imuniti dalam tempoh yang tertentu (waning imunity) terutamanya dalam kalangan individu dalam kumpulan rentan, masih terdapat risiko yang tinggi bagi kumpulan tersebut untuk mendapat jangkitan lebih teruk, dimasukkan ke hospital dan boleh menyebabkan kematian.
Tambahnya lagi, pesakit yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi dengan gejala ringan hingga sederhana boleh hadir ke CAC, Klinik Kesihatan dan hospital kerajaan terpilih untuk melihat kesesuaian penerimaan sebelum rawatan boleh dilakukan.
Bercakap mengenai Covid-19, Khairy turut berkata bahawa tiada paksaan kepada golongan berisiko tinggi untuk mengambil suntikan dos penggalak kedua.
“Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, individu yang telah lengkap menerima dos primer vaksin Covid-19 dan dos penggalak pertama sudah terbukti untuk menerima perlindungan optima daripada jangkitan virus yang teruk dan menyebabkan kematian,” katanya.
Tambahnya lagi, Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) telah mengesyorkan bahawa individu berusia 60 tahun dan ke atas boleh menerima dos penggalak kedua secara sukarela empat hingga enam bulan selepas menerima dos penggalak pertama.
Bagi individu dewasa berumur 18 hingga 59 tahun pula, golongan ini boleh menerima suntikan dos penggalak kedua dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar.
Individu berumur 12 hingga 17 tahun juga boleh ditawarkan suntikan dos penggalak kedua dalam tempoh yang sama setelah mendapatkan rundingan daripada pengamal perubatan berdaftar.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.