SEORANG wanita dan anak lelakinya berusia dua tahun maut apabila kereta jenis perodua Myvi dinaiki mereka, terbabas di Persiaran Timur dari arah Kajang menghala Pinggiran Putra di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A. Asmadi Abdul Aziz dalam kenyataan hari ini berkata dalam kejadian 2.45 petang itu, Amalina Azman, 32, yang cedera parah disahkan meninggal di Hospital Putrajaya manakala anak lelakinya Dzul Qarnain Mohd Iqbal maut di lokasi kejadian.
Menurut A.Asmadi kereta yang dipandu suami mangsa itu dipercayai terbabas sendiri dan melanggar penghadang air atau ‘water barrier’ di bahu kiri jalan itu.
Bagaimanapun katanya suami mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu.
Menurut A.Asmadi siasatan awal mendapati suami mangsa dipercayai mengantuk ketika memandu, lalu hilang kawalan dan terbabas sendiri.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.
— BERNAMA