BELUM lagi ditayangkan tetapi filem Doctor Strange in the Multiverse of Madness dilaporkan telah diharamkan tayangan beberapa negara termasuklah di Arab Saudi, Mesir, Kuwait dan Qatar.
Filem terbitan Disney dan Marvel Studios itu bagaimanapun masih boleh ditayangkan di beberapa negara Arab yang lain termasuklah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Oman yang akan memulakan tayangan awal Mei hadapan.
Beberapa teori beredar tatkala negara-negara tersebut mengambil keputusan untuk membatalkan tayangan di sana.
Paling jelas, watak America Chavez yang juga merupakan seorang gay mewakili komuniti LGBTQ menjadi punca utama pengharaman filem berkenaan.
Antara pelakon filem yang membintangi filem berkenaan termasuklah Benedict Cumberbatch, Elizabeth Olasen, Chiwetel Ejiofor dan Rachel McAdams.
Filem ini juga khabarnya gagal melepasi proses penapisan pada kebanyakan negara memandangkan watak America Chavez lakonan Xochitl Gomez tidak bersesuaian dengan masyarakat Islam di sana.
Sebenarnya pengharaman tayangan filem di kebanyakan negara Arab bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan sudah banyak produk lain gagal dipasarkan di sana.
Antara yang menerima nasib yang sama termasuklah filem muzikal West Side Story dan Eternals- kedua-duanya kerana menyelitkan watak gay.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.