Jangan ragui integriti Hakim Nazlan, kata rakan

0
806

HAKIM Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali disifatkan sebagai individu berintegriti tinggi yang tidak perlu dipertikaikan lagi.

Perkongsian mengenai keperibadian Mohd Nazlan itu dibuat oleh seorang rakannya, susulan dakwaan beliau kini sedang disiasat kerana menerima wang lebih RM1 juta daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Zaim Al-Amin menerusi hantaran di Facebooknya menegaskan, Mohd Nazlan adalah individu yang amat disegani dan disanjungi oleh rakan-rakan yang mengenalinya.

Menurutnya, Nazlan ialah rakannya di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) Kelas 84, berasal dari Ipoh, Perak.

“Mereka yang mengenalinya dari sekolah, universiti (Oxford), Suruhanjaya Sekuriti, Zaid Ibrahim dan Co., Jabatan Undang-undang Maybank akan bersetuju bahawa dia seorang yang sangat pintar yang mana integritinya tidak boleh dipertikaikan.

“Kami sebagai rakan seperjuangan sangat menghormati dan menghargai beliau. Nak bergurau pun segan dan cakap kena berlapik.

“Setidaknya ini saja yang mampu saya lakukan untuknya apabila beliau difitnah dari depan, belakang, kiri dan kanan.

“Tolong kongsikan (hantaran) ini secara meluas untuk menyebarkan kebenaran. Sebagai seorang kawan, saya terhutang budi kepadanya,” katanya.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali

Sebelum ini, Mohd Nazlan membuat laporan polis berhubung satu artikel diterbitkan sebuah portal berita yang mendakwa beliau disiasat mengenai kemasukan duit ke dalam akaun banknya.

Pada 20 April lalu, Blogger Raja Petra Kamarudin mendakwa Mohd Nazlan disiasat berhubung terpalit konflik kepentingan dalam kes rayuan SRC International yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Raja Petra dalam portalnya Malaysia Today, Nazlan disiasat berhubung wang RM1 juta yang tidak diisytihar dalam akaunnya.

Mohd Nazlan kemudiannya menafikan perkara itu dan membuat laporan polis pada 21 April lalu, berhubung artikel yang mengaitkan namanya.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya, artikel yang ditulis oleh Raja Petra bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’ yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas.

Ia juga berniat jahat bertujuan menjatuhkan kredibiliti Mohd Nazlan sebagai seorang Hakim Mahkamah Rayuan serta mengganggu sistem keadilan dan institusi kehakiman.

Pada masa sama, pasukan peguam Najib juga mendakwa Mohd Nazlan mempunyai konflik kepentingan dalam kes 1MDB.

Sebagai rekod, Mohd Nazlan adalah hakim Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib pada 2020, kerana didapati berasalah atas tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu pada tahun 2021, namun hukuman ke atas bekas presiden Umno itu ditangguhkan sementara menunggu kes dirayu di peringkat Mahkamah Persekutuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here