Oleh RAHIMI MOHAMAD
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor menahan sebuah kapal tangki yang disyaki bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 15.2 batu nautika Tanjung Sedili Kecil di Kota Tinggi, petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki yang berdaftar di Zanzibar, Tanzania itu ditahan dalam satu operasi rutin sekitar pukul 1.45 petang.
Katanya, kapal sepanjang 64 meter itu dikendalikan lapan kru lelaki warga Indonesia yang berumur antara 25 hingga 59 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Namun, hasil semakan terhadap dokumen kapal mendapati nakhoda kapal tangki tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.
“Nakhoda kapal telah dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nurul Hizam berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.
Kata beliau, disamping melaksanakan Op Jangkar Haram bagi membanteras kegiatan bersauh tanpa kebenaran, Maritim Malaysia Johor turut terlibat dalam Op Khas Pagar Laut bagi mengekang jenayah rentas sempadan sempena musim perayaan yang bakal menjelang.
“Orang ramai boleh membantu menyalurkan sebarang maklumat ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199401 atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.