Permaisuri Johor ingatkan jangan salah guna kurniaan istana

Oleh RAHIMI MOHAMAD

TINDAKAN seorang individu ‘ghairah’ menayang hadiah kurniaan Istana Johor memakan diri apabila menerima teguran Pemaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Baginda bertitah sebarang kurniaan daripada Istana Johor tidak sepatutnya disalah gunakan untuk meraih populariti di media sosial.

Raja Zarith bertitah demikian merujuk kepada pemilik akaun bernama ‘Shafeqyahya’ di TikTok yang telah menayang beberapa hadiah kurniaan daripada Istana Bukit Serene.

Titah Raja Zarith, Baginda tidak mengenali individu pemilik akaun tersebut.

“Saya tahu hadiah-hadiah itu dan ia sebenarnya hadiah kurniaan kepada sesetengah pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri Johor sebagai penghargaan ikhlas atas perkhidmatan mereka.

“Saya tidak mengenali siapa ‘Shafeqyahya’ ini dan saya mengesyaki hadiah-hadiah itu disalah gunakan untuk meraih ikutan dan populariti di media sosial.

“Seolah-olah (dia) mempunyai hubungan yang rapat dengan Keluarga Diraja Johor,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Permaisuri Johor turut bertitah, satu laporan polis akan dibuat untuk menyiasat sama ada wujudnya elemen salah guna ataupun menyamar sebagai pegawai kerajaan Johor. – SB

Pemilik akaun tersebut sebelum ini memuat naik beberapa video yang memaparkan barangan kurniaan Istana Johor antaranya syiling emas dan pelbagai lagi.

Sementara itu, semakan di aplikasi TikTok mendapati, pemilik akaun berkenaan dipercayai sudah menukar mod kepada ‘private’ susulan isu terbabit. – SB