Al-Ikhlas Gadjet: Dari pasar malam ke mall serba lengkap

USAHA tangga kejayaan, itulah pepatah yang sering digunakan rakyat Malaysia namun, istilahnya membawa impak yang besar dalam kehidupan seseorang insan.

Dari berniaga di pasar malam di Kota Tinggi, Johor, kini usaha dan titik peluh seorang pemuda, Muhamad Farouk Hassanain Hashim, 31, berjaya memiliki sembilan kedai gajet dan sebuah pusat-beli belah gajet, iaitu Al-Ikhlas Gadjet dan Al-Ikhlas Gadjet Mall yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.

Pada mulanya Farouk hanya bermodalkan RM2,000 sahaja untuk berniaga di pasar malam kerana minatnya terhadap gajet.

“Memandangkan saya ni gila gajet, sejak di kampus lagi saya berjinak-jinak dengan perniagaan gajet, aksesori handphone semua.

“Bila habis belajar, saya ambil keputusan berniaga gajet di pasar malam di Kota Tinggi dengan modal dalam RM2,000 sahaja, daripada situ saya mula buka kedai sebuah demi sebuah di sekitar Johor dan kemudian di Melaka, kini saya nak cuba pula kembangkan perniagaan di Lembah Kelang,” katanya.

Namun, selepas lapan tahun bertungkus lumus, kini Farouk bukan sahaja berjaya, tetapi menyinar dalam dunia perniagaan dan merupakan usahawan muda yang berjaya.

“Alhamdulillah lebih kurang lapan tahun bertungkus lumus, kini Al-Ikhlas Gadjet dah ada sembilan buah premis dengan pekerja dalam 300 orang, tahun lepas Al-Ikhlas Gadjet berjaya membawa hasil lebih RM34 juta dan kami sasarkan pulangan dalam RM54 juta tahun ini,” kata Farouk.

Menurut Farouk, bagi memastikan mereka boleh menjual produk dengan harga yang rendah, beliau sendiri akan terbang ke China bagi menemui pembekal untuk mendapatkan produk yang terbaik daripada segi harga dan kualiti.

Kegigihannya juga membuatkan beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Belia Johor & Khas Menteri Besar pada tahun lalu.

Selain Al-Ikhlas Gadjet Mall di Petaling Jaya, Al-Ikhlas Gadjet juga mempunyai cawangan di Kota Tinggi, Bandar Baru Uda, Adda Height, Kota Masai, Batu Pahat, Mutiara Rini dan di Kulai, Johor serta di Klebang, Melaka. – SB

Sumber: Syahril A. Kadir