Covid-19: Kes baharu bawah 10,000 tiga hari berturut-turut

0
225

JUMLAH kes baharu COVID-19 dalam negara berada di bawah paras 10,000 untuk tiga hari berturut-turut apabila 9,002 kes dilapor semalam, menjadikan kumulatif kes COVID-19 negara kini 4,342,559, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Pada Ahad (10 April), sebanyak 8,112 kes baharu dilaporkan manakala pada Isnin negara mencatatkan 7,739 kes baharu.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu semalam, 67 kes atau 0.74 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima.

Dr Noor Hisham dalam kenyataan hari ini berkata sebanyak 394 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital semalam dengan 162 kes adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala 232 kes melibatkan kategori satu dan dua.

Beliau berkata jumlah kes sembuh yang dilaporkan semalam juga melebihi kes baharu apabila 16,986 kes sembuh dicatat menjadikan kumulatif kes sembuh 4,180,763, manakala tiga kluster baharu dilapor menjadikan jumlah kluster aktif kini 117.

Bagi penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes COVID-19 pula, Dr Noor Hisham berkata Putrajaya mencatat peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) setakat semalam iaitu 100 peratus manakala Selangor 51 peratus.

Pada masa sama, bagi pengisian katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), tiada negeri mencatat peratusan pengisian melebihi 50 peratus.

Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau nilai Rt dicatatkan di seluruh negara semalam pula adalah 0.84, dengan Selangor kekal merekodkan kadar tertinggi iaitu 0.93 manakala Kelantan mencatat kadar paling rendah dengan 0.63.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here