Alif Satar, Raihan bergabung sempena Ramadan

MENGAMBIL semangat Ramadan, Alif Satar & The Locos bersama-sama dengan kumpulan nasyid Raihan bergabung mengeluarkan sebuah EP berjudul The Sunnah The Better yang baru sahaja dilancarkan minggu lalu.

Bagi Alif, ini merupakan penghormatan buat dirinya memandangkan dapat bergabung sekali lagi dengan Raihan setelah berjaya dengan rakaman semula lagu Sesungguhnya 2019.

“Ini merupakan penghormatan besar buat kami, pemuzik pelapis, dapat bekerjasama dengan orang lama dalam industri muzik Malaysia seperti Raihan.

“Kita semua membesar mendengar lagu-lagu Raihan yang penuh dengan pengajaran dan peringatan sebagai umat Islam.

“Melalui kolaborasi ini, kami ingin menghidupkan semula semangat tersebut dan mengembalikan nostalgia lagu-lagu ketuhanan sekaligus memperkenalkan Raihan kepada generasi muda sekarang,” jelas Alif.

Menariknya, apabila merakamkan semula Sesunggunya 2019 dan Damba Cinta-Mu pada 2019, sambutan yang diterima begitu luar biasa sehingga ada yang meminta mereka meneruskan gandingan tersebut.

Tidak mahu menghampakan peminat, EP kali ini dibuat khas untuk semua dengan rangkaian lagu seperti Bismillah, 25 Rasul, Puji-Pujian x Syukur (medley), Assolatuwassalam dan Rayuan Rindu.

Lagu berkenaan sudah boleh didengar melalui pelantar digital namun video muzik (MV) pula akan dilancarkan secara berperingkat yang akan dikeluarkan sepanjang Ramadan ini.

Tambah Alif, dia senang bekerjasama dengan Raihan memandangkan dan sudah ada keserasian di antara mereka.

“Setelah berbulan perbincangan, kami mengambil keputusan untuk memulakan sesi rakaman yang hanya memakan masa selama dua hari sahaja.

“Setiap lagu yang dihasilkan hanya ‘sekali jalan’, maksudnya tiada pengubahsuaian mahupun rakaman semula ibarat nyanyian secara langsung,” tambahnya lagi.

Bercerita mengenai Raihan sendiri, bekas pengacara program Muzik-Muzik ini tidak menafikan sangat mengkagumi mereka sementelah melihat perjalan panjang yang dilalui oleh mereka.

Kumpulan ini bukan sahaja terkenal di Malaysia malah populariti Raihan merentas sempadan dunia sehingga ke Eropah dan negara Afrika.

Mereka membawa mesej ketuhanan dan kerohanian dengan pelbagai nasihat dan panduan berguna untuk semua.

“Banyak yang kami pelajari dari mereka, agak gementar juga ketika mula-mula hendak bekerjasama memandangkan mereka sudah bertaraf antarabangsa.

“Namun begitu, mereka tetap merendah diri dan tidak lokek berkongsi ilmu selain menerima cadangan-cadangan kami,” kata Alif lagi. – SB