Dua maut kereta terbalik selepas langgar pokok

0
472

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

DUA maut selepas kereta Toyota Vios dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok sebelum terbalik di Jalan Kluang, Sri Lalang, Kluang, Johor, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 11 malam itu, pemandu kereta itu yang merupakan seorang lelaki berusia 23 tahun dan penumpang wanita berumur 40-an maut di tempat kejadian.

Menurut Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Md. Nor, seramai sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata, mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Tiba di tempat kejadian, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Zaidi Tumiran dan pasukannya mendapati, kedua-dua mangsa tidak tersepit tetapi pintu kereta tidak dapat dibuka terutama bahagian pemandu remuk teruk.

“Kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok di kawasan selekoh tajam di jalan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang berketurunan Melayu disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir.

Katanya, kedua-dua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 5.30 pagi ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here