Kenaikan bahan mentah jejas B40, M40 miliki rumah

0
430

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PERSATUAN Pembina Johor (PPJ) dan Malacca Builders Association (MBA) bimbang golongan B40 serta M40 tidak mampu membeli rumah susulan harganya akan naik pada masa depan akibat kenaikan harga bahan mentah ketika ini.

Pengerusi PPJ, Datuk Kong Weng Keong dan Pengerusi MBA, Datuk Lim Hau Jan dalam satu kenyataan bersama menjelaskan, kenaikan harga rumah sukar dielakkan kerana harga barang binaan seperti simen dan konkrit naik terlampau tinggi sejak dua tahun lalu.

“Kami menjadi mangsa pertama menanggung beban kerana menjalankan projek swasta. Semua pengeluaran bahan-bahan binaan yang berkaitan sangat bergantung dengan penggunaan simen atau konkrit sebagai bahan pembinaan utama.

“Kenaikan harga simen terlampau tinggi tanpa sebarang rundingan dengan pihak industri pembinaan. Kami berharap akan ada semakan serius dan bertanya mengapa hanya kami menjadi mangsa menanggung kenaikan harga bahan mentah binaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengemuka empat cadangan sebelum menaikan harga bahan mentah, pertamanya memberi notis pendahuluan kenaikan harga dalam jangka masa enam bulan hingga satu tahun.

Jelasnya, kenaikan harga bahan mentah itu juga perlu dilakukan secara beransur-ansur dalam tempoh berkenaan dan bukan secara terkejut atau tanpa notis awal.

“Cadangan kedua adalah menetapkan kadar bekalan untuk semua projek pembinaan semasa.
Pengeluaran dan pembekal dicadang boleh menyediakan pakej harga asal selain mengekalkan harga yang dipersetujui,” katanya.

Ketiga katanya, pengilang dan pembekal perlu merumuskan mekanisme peningkatan bagi mengawal julat setiap kenaikan harga bagi memastikan pemaju tidak mengalami kerugian.

Sementara perkara keempat katanya, kerajaan selain Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) dan Institut Jurutera Malaysia (IEM) dicadangkan boleh mengetuai advokasi dan mengkaji semula klausa variasi harga (VOP) dalam borang kontrak pembinaan semasa.

“Memahami kedua-dua borang kontrak PAM dan IEM adalah bentuk kontrak yang paling diterima pakai dalam sektor swasta, persatuan kami berusaha untuk mencadangkan semakan semula klausa semasa yang tidak membenarkan pemaju membuat tuntutan ke atas variasi harga bahan dalam amalan.

“Menyedari bahawa kerajaan Malaysia telah menyediakan elaun perubahan harga atau VOP untuk projek kerajaan berikutan peningkatan ketara dalam kos bahan binaan pada 2021, peranan kedua-dua PAM dan IEM kini menjadi penting dalam mengkaji semula dengan keadilan ” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here